Penulisan tidak menggambarkan baik atau buruk sesorang

Assalamualaikum….

Alhamdulillah masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik di tahun 2017 ini. Sedar tak sedar, dah melalui bulan Februari 2017 dah kita. Cepat kan masa berlalu.

Bila saya semak dan baca semula kesemua entri saya di blog ini, kebanyakan entri yang saya tulis lebih menjurus kepada Tips dan Panduan. Jarang sekali saya berkongsi entri yang saya mengomel sorang-sorang tentang perjalanan seharian dan kehidupan saya bersama isteri dan anak-anak.

Cuma ada satu sahaja entri yang saya buat. Itupun atas desakan anak sulung saya. Sebab dia nak merasa gambar dia masuk dalam berita katanya. Sengaja saya berseloroh yang gambar dia akan masuk berita mutakhir di internet. Pada hal cuma dimuatnaik di blog saya ni sahaja.

Boleh baca perkongsian saya tentang keindahan Taman Saujana Hijau di Putrajaya.

Entri kali ini cuma saya berbicara kosong sahaja. Lebih kepada berbicara kedai kopi. Kebetulan terlintas di fikiran saya sewaktu pulang dari kerja. Sedang saya duduk berteleku dalam ERL pulang, saya terbaca satu post di Facebook yang boleh dikatakan ayat-ayat yang dikeluarkan mampu membuatkan hati terasa tawar untuk dijadikan calon menantu atau isteri.

Adalah benar saya katakan pada tajuk saya kali ini. Penulisan tidak menggambarkan baik atau buruk seseorang. Kita manusia biasa ini kadang-akdang tidak terlepas dari melalukan kesalahan. Tidak sengaja, itu boleh dimaafkan.

Tetapi,

Jika kesalahan itu diulang kembali, ia bukan bermakna diri itu khilaf. Ungkapan kasar orang Melayu ada berkata…

Cerdik tidak boleh ditunjuk. Bodoh tidak boleh diajar.

Saya kurang pasti samada betul atau tidak ungkapan yang saya maksudkan tetapi itulah seakan-akan bunyinya.

Kadang-kadang, kita dipersembahkan dengan video live atau rakaman video di media sosial, komen-komen pedas yang tidak membayangkan langsung kejelitaan dan kehenseman tuan punya badan. Nafsu tidak puas hati bercampur marah sedang membuak-buak. Jadi, media sosial adalah tempat sesuai untuk meluahkan perasaan. Habis semua ayat ditaip tanpa tapis. Janji hati puas.

Saya cuba baca dari awal penulisan si polan tersebut di dinding mukabuku beliau. Aktiviti skodeng saya tiba-tiba memuncak bila terbaca post beliau. Seperti yang saya katakan. Nampak comel dengan gambar selfie diletakkan di profail gambar. Bertudung siap. Saya kurang pasti kalau gambar tersebut dimanipulasi atau plagiat dari orang lain.

Saya amati ayat yang digunakan. Sungguh tidak padan dengan apa yang saya lihat dengan wajah gambar beliau. Anggapan saya, jari jemari si manis jelita ini sungguh pantas menaip pabila tiba rasa marah. Kelajuan jemari mengalahkan lipas kudung.

Saya bukanlah insan sempurna seperti orang lain. Ada juga kesilapan dan kelemahan sendiri. Sebagai pedoman, saya belajar dari orang lain agar tidak bercerita tentang keburukan orang lain di media sosial khususnya di dinding mukabuku.

Bukan apa, jika benar kesilapan dari insan tersebut. Kita maafkan beliau seikhlas hati. Mungkin itu adalah pengajaran untuk diri kita juga. Mungkin suatu hari nanti, terkena pada batang hidung sendiri, baru datang kesedaran dan keinsafan. Sebab lumrah kehidupan. “Kita buat dekat orang lain, orang lain akan buat pada kita pula”.

Menjadi pejuang papan kekunci di zaman serba pantas ini tidak susah. Kita taip sahaja dengan jemari istimewa ini. Sebarkan di media sosial. Jika penulisan kita menarik, sepantas 1 saat sahaja dikongsikan. Kalau benar ia berlaku, itu lain cerita. Ini cerita direka untuk menarik perhatian, kemudian disebarkan. Ya Allah……. DOSA PERCUMA untuk SAHAM NERAKA yang tersedia.

Saya sentiasa mengamalkan konsep SEDERHANA apabila berkongsi di layar internet. Terutama di media sosial. Sebab itu anda jarang melihat post di dinding peribadi mukabuku saya. Sebab saya risau akan kepantasan jemari saya ini sewaktu menaip.

Biarkan sahaja apa orang nak kata. Janji kau puas. Ada masa kita boleh gunapakai istilah ini. Dan ada masa juga kita kena amalkan “Cakap siang pandang-pandang, Cakap Malam dengar-dengar”. Kalau orang kampung saya, sungguh pantang dengan orang yang tidak ada budi bahasa. Pasti muka sudah ditapak dengan buku lima. Tapi itu fizikal. Kalau di dunia maya ini, nak ditapak dengan tangan memang tak sampai. hehehe.

Jadi, nasihat untuk diri saya sendiri dan anda yang membaca cerita kedai kopi saya ini,

Berpada-pada dalam menulis. Tidak salah kalau kita bercakap baik, budi bahasa dan sopan santun dalam menulis. Kita kena terapkan budaya positif bila kita menulis. Insyaallah baru hati kita tenteram.

Semoga memberi perangsang kepada anda dan juga diri saya sendiri.

Sekian.

Selamat menyambut perayaan Thaipusam buat rakan-rakan beragama Hindu.

7 Comments

  1. Hero Borneo 16/04/2017
  2. dedauncomel.com 19/02/2017
  3. Saji.My 19/02/2017
  4. Sobri Mansor 16/02/2017
  5. raihanah 14/02/2017
  6. Sobri Mansor 12/02/2017
  7. sensasi2020 12/02/2017

Add Comment

CommentLuv badge

Minisite Builder dan Affiliate Platform tanpa yuran bulanan. Dapatkan SEKARANG!!!Di SINI