Kerjaya pertama saya selepas bergelar mahasiswa

Bismillah….

Sedikit saya ceritakan tentang sejarah permulaan kerjaya saya selepas bergelar siswazah.

Selepas tamat pengajian dari UPM, saya memang mengimpikan satu kerjaya yang setimpal dan setaraf dengan apa yang saya belajar. Memang menjadi idaman setiap mahasiswa. Nak cari kerja, kena cari kerja yang sama dengan kita belajar dalam dewan kuliah. Kalau akauntan, mesti nak cari kerja akauntan, kalau bidang kejuruteraan, kena cari kerja dalam bidang kejuruteraan.

Untuk pengetahuan jugak, Puan suri saya juga dari universiti yang sama, kolej kediaman yang sama, cuma bilik yang berbeza. kih…kih… (Trivago curi idea dari saya, acah mat labon)

Selesai sahaja jawab soalan kertas akhir peperiksaan, saya keluar sahaja dari dewan. Terus termenung tepi dinding. Memikirkan hala tuju untuk mencari kerja. Waktu itu, bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat seperti cendawan tumbuh. Mana-mana syarikat besar memang dahagakan pekerja dalam dua bidang ni. Saya yang baru tamat peperiksaan dan belum peroleh transkrip, kena melawan bersama dengan abang-abang senior lain yang masih mencari kerja.

Resume kendiri saya, jangan ditanya berapa banyak saya sediakan. Setiap kali saya keluar, pasti berpakaian kemas ala-ala nak menghadiri temuduga. Terpaksa bohong sunat dengan kawan sebilik. Konon ada temuduga yang nak dihadiri. Padahal, saya cuma nak hantar resume saya seberapa banyak yang boleh disetiap pejabat yang bakal saya terjah nanti.

2 minggu lebih jugak saya kemurungan. Sebab tiada kerja. Syarikat yang memanggil untuk temuduga, jangan harap. Resume sikit punya bagus saya buat. Kulit keras. Muka depan cetakan warna. Tapi masih sendu tanpa lagu. Last-last saya buntu bercampur sugul.

Kebetulan, waktu saya dalam kemurungan tiada pekerjaan, saya berselisih dengan seorang makcik tukang cuci di kolej kediaman saya. Makcik Mah. Baik makcik ni. Kecil je orangnya. Tapi baik hati. Selalu saya jadi peneman bersembang jika makcik Mah ni beristirehat di meja bulat. Saja saya ringankan mulut ini bertanya kot-kot ada jawatan kosong majikan Makcik Mah bekerja. Bersusah payah Makcik Mah menelefon penyelia beliau meminta tolong carikan saya kerja.

Allah nak tolong saya waktu tu, Penyelia Makcik Mah nama Encik Arman waktu itu nak berpindah tempat kerja ke tapak projek lain. Jadi saya ada peluang untuk isi kekosongan sebagai jawatan Penyelia projek. Alhamdulillah, syukur saya waktu itu. Tak perlu hadir temuduga dah. Cuma saya berikan resume serta salinan sijil yang berkaitan. Encik Arman datang kutip sijil-sijil saya, hantar ke pejabat di Sungai Merab Luar. 2 hari selepas itu, saya terus mulakan kerja sebagai penyelia pembersihan.

Saya bermula dari kosong tentang ilmu kerja mencuci. Tidak diberikan latihan khusus. Saya ikut apa yang team saya buat setiap hari. Waktu itu, saya ada 5 orang tukang cuci. 3 perempuan dan 2 lelaki. Makcik Mah adalah salah seorang dari team cuci saya. Saya belajar banyak benda. Cara mop lantai, penggunaan bahan kimia untuk mencuci, buat jadual kerja harian, bulanan dan tahunan.

Kawan-kawan satu kolej saya semua terkejut sebab saya sentiasa berada di kolej. Sikit pun saya tidak malu dan segan dengan rakan sekolej lebih-lebih lagi budak perempuan. Semua pandang saya semacam. Seperti tidak patut saya melakukan kerja sebagai team pencuci bangunan. Biarlah, saya mencari rezeki halal. Walaupun gaji permulaan saya waktu itu cuma RM450 kasar. Janji pengalaman kerja yang saya dapat lebih penting.

Apa pengajaran yang saya cuba sampaikan dalam ni?

Tidak kisah kita di dalam bidang apa pun sewaktu kita bergelar mahasiswa, usahlah tanamkan dalam hati untuk memilih kerja yang sama bidang sewaktu kita belajar dulu. Kita kena keluar dari kepompong untuk terus maju berjaya. Saya ambil masa selama 2 tahun untuk saya dapatkan kerjaya sama bidang sewaktu belajar. Jadi, jangan mengalah awal. Kerja sahaja bidang yang ada. Tidak kira, pembuat roti ka, penebar pizza ka, operator pengeluaran ka, janji cari pengalaman kerja dulu.

Sambil-sambil kita kerja dalam bidang yang kita nampak tak sesuai dengan diri dan impian kita, cuba cari kerjaya yang lebih menjamin masa depan kita sendiri. Mana tahu dengan pengalaman kita selama beberapa bulan menimba pengalaman dengan kerjaya pertama, mungkin kita diterima mengambil tanggungjawab dan diterima bekerja.

Tapi kalau rasa tak nak makan gaji lepas keluar dari universiti dan merancang untuk memulakan perniagaan sendiri, mulakan cepat-cepat. Jangan tunggu dapat kerja baru nak berniaga. Modal berniaga simpan sikit-sikit dari duit pinjaman PTPTN. Jangan buat modal beli smartphone mahal pulak, macam Iphone ke. Itu yang bila tengah semester dah start makan MAGGI.

 

9 Comments

  1. Naimah Wahab 14/08/2017
  2. Mohd 31/07/2017
  3. irsah 24/04/2017
  4. Dedaun Comel 17/04/2017
  5. Sobri Mansor 12/04/2017
  6. Hero Borneo 12/04/2017
  7. Sobri Mansor 04/04/2017
  8. Uncle Zuan 01/04/2017

Add Comment

CommentLuv badge

Minisite Builder dan Affiliate Platform tanpa yuran bulanan. Dapatkan SEKARANG!!!Di SINI